Latarbelakang Sekolah Seni

Latar belakang

Cadangan penubuhan Sekolah Seni telah diputuskan dalam Persidangan Perancangan Strategik KPM tahun 2004 yang diadakan di Hotel Pan Pacific, KLIA, Sepang pada 30 Oktober hingga 1 November 2004.

Y.B. Menteri Pelajaran telah mengumumkan rancangan penubuhan dua buah sekolah menengah seni di bawah Rancangan Malaysia ke-9. Sekolah tersebut akan dibina masing-masing sebuah di negeri Johor (Sekolah Seni Johor Baharu) dan Sarawak (Sekolah Seni Kuching Sarawak).

Mesyuarat Mengkonsepsikan Sekolah Seni telah diadakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) pada 9 -12 Mei 2005 dan beberapa contoh model pelaksanaan kurikulum Sekolah Seni telah dihasilkan. Ahli panel terdiri daripada guru, pegawai kementerian, pensyarah dan penggiat kesenian dari beberapa institusi dan universiti seperti Institut Kraf Tangan Negara, Yayasan Warisan Johor, Kolej Yayasan Melaka, Unversiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Malaysian Philharmonic Orchestra. Manakala, Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) adalah mewakili Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Sekolah Seni Bil.2/2006 yang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato’ KPPM telah menerima pada dasarnya Cadangan Kertas Konsep Sekolah Seni yang dikemukakan dengan beberapa pindaan. Lanjutan itu, pada 10 hingga 13 Oktober 2006 satu bengkel pemurnian kertas tersebut telah diadakan bagi membincangkan pindaan seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Bil.2/2006. Panel bengkel ini terdiri daripada antaranya Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, pegawai-pegawai kanan KPM, pegawai-pegawai daripada JPN Johor dan Sarawak serta para penggiat seni yang diundangkan khas.

Sebagai persediaan pelaksanaan Sekolah Seni 2007, pihak PPK telah mengambil inisiatif memberi Kursus Orientasi kepada guru-guru Pendidikan Kesenian untuk Sekolah Seni. Guru-guru tersebut telah didedahkan kepada kurikulum mata Pelajaran Pendidikan Kesenian yang disediakan khas untuk Sekolah Seni. Mata pelajaran Pendidikan Kesenian merangkumi disiplin Seni Visual, Seni Tari, Seni Teater dan Seni Muzik.

Mesyuarat Hal-hal Profesional Kementerian Pelajaran Bil 09/2006 pada 24 November 2006 bersetuju dengan Dasar-dasar Pelaksanaan Sekolah Seni yang telah dibentang dan mengesyorkan supaya kertas tersebut diangkat ke Mesyuarat Pengurusan Kementerian Pelajaran.

KERTAS DASAR MESYUARAT PENGURUSAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA SEKOLAH SENI MALAYSIA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2006

ASAS-ASAS PERTIMBANGAN

Konsep Sekolah Seni

Sekolah yang membangunkan potensi dan bakat kesenian murid.

Falsafah Pendidikan Kesenian

Suatu usaha membangunkan potensi individu secara seimbang dan bersepadu melalui pendidikan kesenian yang dilaksanakan secara terancang dan sistematik. Usaha ini adalah bagi melahirkan insan yang bertanggungjawab dan berkeperibadian mulia dalam mengamalkan budaya bangsa yang luhur dan beridentiti Malaysia.

Falsafah Sekolah Seni

Sebuah institusi yang membangunkan potensi individu secara seimbang dan bersepadu melalui pendidikan kesenian bagi melahirkan insan yang berilmu, berketerampilan dan berkeperibadian mulia dalam mengamalkan budaya bangsa yang luhur dan beridentiti Malaysia.

Visi
Pewaris Budaya Bangsa

Misi

Misi sekolah seni ialah:
i) Memupuk bakat dan mengembangkan potensi kesenian di kalangan murid.
ii) Menggalakkan penyertaan aktif murid dalam aktiviti kesenian.
iii) Mewujudkan kerjasama dengan pelbagai institusi dan penggiat seni.


Objektif sekolah seni ialah:

i) Melahirkan murid yang seimbang dalam pencapaian akademik dan kesenian.
ii) Melahirkan murid yang berilmu dan berketerampilan dalam bidang kesenian.
iii) Menjadi tapak semaian kecemerlangan pendidikan kesenian yang beridentiti di peringkat antarabangsa.
iv) Melahirkan penggiat seni dan pengamal budaya yang bersahsiah tinggi.
v) Melahirkan individu yang berjiwa seni dan dapat memelihara budaya bangsa.

Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah Seni

Pengurusan dan pentadbiran sekolah seni adalah seperti sekolah harian biasa kecuali dalam bidang-bidang berikut:

i) Norma Perjawatan

Norma perjawatan guru dan bukan guru akan mengambil kira bidang dan kurikulum yang ditawarkan. Ini termasuk jawatan luar norma yang sedia ada seperti penolong kanan seni dan pentadbiran, ketua bidang kesenian (visual, teater, muzik, tari), instruktur / jurulatih kesenian, staf sokongan mengikut disiplin kesenian yang ditawarkan. Sekiranya jawatan tersebut tidak dapat diisi atau belum wujud di bawah Kementerian Pelajaran maka ia perlu diatasi dengan mendapat pegawai khidmat luar secara sambilan atau di bawah program pegawai pinjaman (secondment).

ii) Pengurusan Kewangan

Selain menggunakan peruntukan sedia ada (Belanja Mengurus), KPM menyediakan peruntukan khas bersesuaian dengan program pendidikan yang ditawarkan seperti elaun khidmat kepakaran, perolehan kelengkapan dan peralatan, utiliti, program ‘attachment’, penyertaan peringkat nasional dan antarabangsa, lawatan benchmarking / penandarasan dan sebagainya.

iii) Penyediaan guru

Kursus latihan perguruan sama ada pra atau dalam perkhidmatan perlu mengambil kira program pendidikan kesenian yang ditawarkan.

iv) Pengurusan kurikulum

Murid Sekolah Seni mengikuti kurikulum pendidikan kesenian yang digubal oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Seperti pada Lampiran.

v) Pengurusan Pembangunan dan Perolehan

Kemudahan fizikal dan infrastruktur Sekolah Seni disediakan dengan mengambil kira ciri-ciri kesenian setempat. Bagi perolehan peralatan dan perkakasan ia perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan berdasarkan subjek yang ditawarkan.