Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah Seni

Pengurusan dan pentadbiran sekolah seni adalah seperti sekolah harian biasa kecuali dalam bidang-bidang berikut:

i) Norma Perjawatan

Norma perjawatan guru dan bukan guru akan mengambil kira bidang dan kurikulum yang ditawarkan. Ini termasuk jawatan luar norma yang sedia ada seperti penolong kanan seni dan pentadbiran, ketua bidang kesenian (visual, teater, muzik, tari), instruktur / jurulatih kesenian, staf sokongan mengikut disiplin kesenian yang ditawarkan. Sekiranya jawatan tersebut tidak dapat diisi atau belum wujud di bawah Kementerian Pelajaran maka ia perlu diatasi dengan mendapat pegawai khidmat luar secara sambilan atau di bawah program pegawai pinjaman (secondment).

ii) Pengurusan Kewangan

Selain menggunakan peruntukan sedia ada (Belanja Mengurus), KPM menyediakan peruntukan khas bersesuaian dengan program pendidikan yang ditawarkan seperti elaun khidmat kepakaran, perolehan kelengkapan dan peralatan, utiliti, program ‘attachment’, penyertaan peringkat nasional dan antarabangsa, lawatan benchmarking / penandarasan dan sebagainya.

iii) Penyediaan guru

Kursus latihan perguruan sama ada pra atau dalam perkhidmatan perlu mengambil kira program pendidikan kesenian yang ditawarkan.

iv) Pengurusan kurikulum

Murid Sekolah Seni mengikuti kurikulum pendidikan kesenian yang digubal oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Seperti pada Lampiran.

v) Pengurusan Pembangunan dan Perolehan

Kemudahan fizikal dan infrastruktur Sekolah Seni disediakan dengan mengambil kira ciri-ciri kesenian setempat. Bagi perolehan peralatan dan perkakasan ia perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan berdasarkan subjek yang ditawarkan.